
Posted by bom_atom
![]()
on February 4, 2008, 8:15 am
Murid berjaya lepaskan diri daripada diculik
SEREMBAN 2 Feb. - Ketika masyarakat lebih berwaspada keselamatan anak-anak ekoran beberapa kes culik di Lembah Klang, penjenayah semakin berani dengan menjadikan kawasan luar sekolah sebagai sasaran termasuk nyaris melarikan seorang murid di sini, Rabu lalu.
Murid lelaki berusia sembilan tahun itu hampir diculik apabila dia ditangkap sekumpulan lelaki yang kemudian memasukkannya ke dalam sebuah kereta berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Ja'afar 2 (SKTTJ2) di Senawang dekat sini.
Difahamkan, dalam kejadian pada tengah hari selepas sesi persekolahan itu, murid tersebut telah diekori sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Kenari sebelum menangkap dan memasukkannya ke dalam kenderaan itu.
Bagaimanapun, murid itu sempat menendang pintu kereta berkenaan dan berjaya melepaskan diri sebelum terus berlari memasuki semula kawasan sekolah dan meminta bantuan guru-guru.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azli Kamarudin yang dihubungi Mingguan Malaysia mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
Katanya, murid SJTTJ2 itu baru saja keluar dari kawasan sekolah sebelum ditarik sekumpulan lelaki dan dibawa masuk ke dalam kereta Perodua Kenari itu.
"Sebaik pelajar itu melepaskan diri, dia berlari memasuki semula kawasan sekolah dan kemudian membuat laporan kepada pihak sekolah," katanya.
Tegas Saiful Azli, berdasarkan laporan yang diterima, polis telah melancarkan gerakan memburu penculik terlibat.
Pada masa yang sama, tambah beliau, pihaknya juga memantau semua aktiviti di luar kawasan sekolah bagi mengelakkan cubaan culik itu daripada berulang di sekolah lain di daerah ini.
"Pihak SKTTJ2 sendiri telah mengeluarkan surat pekeliling kepada ibu bapa mengenai kejadian culik berkenaan Jumaat lalu bertujuan supaya mereka mengambil langkah lebih berwaspada," katanya.
Pejabat Utusan Malaysia di sini turut menerima e-mel daripada ibu bapa yang memaklumkan tentang penghantaran surat pekeliling daripada pihak SKTTJ2 yang dibawa pulang oleh anak mereka.
Sementara itu, Saiful Azli menasihatkan murid-murid agar tidak mendekati individu yang tidak dikenali dan tidak menghampiri kereta yang mencurigakan ketika pulang dari sekolah.
"Saya juga berharap ibu bapa yang menjemput anak-anak balik dari sekolah dan pemandu van atau bas sekolah memastikan semua pelajar berada dalam kenderaan masing-masing sebelum meninggalkan kawasan sekolah," ujarnya.


Message Thread:
![]()
« Back to thread